Hukum mengubah bentuk asal rambut

RAMBUT

Terdapat ura-ura yang mengatakan teknik rawatan rambut seperti rebonding dan kerinting rambut adalah haram di sisi agama Islam. Secara umumnya, wanita yang mempamerkan aurat iaitu rambut kepada lelaki bukan mahram nyata hukumnya adalah haram. Namun jika ia dilakukan semata-mata mahu kelihatan cantik baik untuk tatapan sendiri mahupun suami serta tidak mendedahkan auratnya itu di khalayak ramai, hukumnya adalah harus.

Kecantikan dan wanita tidak dapat dipisahkan ibarat eratnya persahabatan isi dan kuku. Kecintaan wanita terhadap perkara yang cantik sudah sebati dalam jiwa mereka. Malah, Islam juga menggalakkan umatnya agar sentiasa tampil cantik dan bersih sepanjang masa. Biarpun hukum melurus dan mengerintingkan rambut dibenarkan dalam Islam tetapi ia perlu mematuhi syarat yang ditetapkan agar tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Menurut Ustazah Firuz Akhtar Mohamad Bokhari iaitu graduan Sarjana Pengajian Islam dan Asia Barat Universiti St. Louise Washington jika perubahan yang dilakukan tidak memberi kesan kekal maka selagi itu ia dibenarkan. Pun begitu, kandungan bahan-bahan yang digunakan untuk proses perawatan rambut tersebut hendaklah suci.

Adalah penting untuk anda mengetahui bahan kimia yang digunakan tidak mengandungi lemak khinzir, kandungan protein yang memberi kesan kekal hingga mengubah struktur asal rambut serta mendatangkan mudarat kepada rambut, badan dan kesihatan. Jika ada di antara bahan berkenaan mempunyai bahan yang dilarang Islam, nyata ia tidak harus dilakukan. Selain mengenalpasti bahan-bahan berkenaan, wanita yang berhasrat menjalani rawatan rambut ini juga tidak mengambil khidmat pekerja lelaki demi menjaga batasan aurat.

Sekalipun anda begitu mementingkan soal kecantikan, namun usah menjadi terlalu taksub hingga mengubah ciptaan Tuhan kerana tindakan tersebut bercanggah dengan kehendak Islam sebenar. Tidak salah untuk kelihatan cantik namun perlulah mengikut peraturan dan tuntutan yang diharuskan dalam ajaran Islam.

Iklan