Syazliana artis baru..

<

Syazliana positif untuk mengorak langkah bersama album keempatnya yang sudah terperap sejak lapan bulan lalu

SELAIN membabitkan diri, penyanyi tinggi lampai, Syazliana yang menyambut hari lahirnya yang ke-22 pada 25 Julai lalu, kini sudah meneroka jawatan baru bergelar ahli perniagaan. Menguruskan dua buah syarikat yang menggunakan nama sejenis warna pastel, Sienna tidak pernah membataskan minatnya untuk terus menyanyi.

Tidak pernah mengenal erti putus asa dan tiada istilah kecewa dalam kamus hidupnya, biarpun tiga album terdahulunya gagal menambat perhatian peminat muzik tempatan. Menyifatkan saat ketiga-tiga albumnya dipasarkan bertembung dengan jadual peperiksaan dan masih terikat dengan jadual belajar, Syazliana positif untuk mengorak langkah bersama album keempatnya yang sudah terperap sejak lapan bulan lalu.

Kini, Syazliana atau lebih mesra dengan nama Syaz memilih syarikat Sony BMG Music sebagai pengedar album keempatnya berjudul Syaz. Album itu dihasilkan melalui syarikat miliknya sendiri, Sienna Entertainment Sdn Bhd. Persoalan apakah Syazliana bakal menjadi artis naungan syarikat rakaman itu masih samar dan tiada kepastian lagi.

“Sebagai manusia biasa yang menjadi penyanyi dan kini menjadi usahawan, Syaz tidak boleh berputus asa. Semuanya dititip menjadi pengalaman berharga untuk masa mendatang. Sebelum ini, Syaz masih muda dan belajar, tambahan pula album yang dipasarkan sebelum ini dikeluarkan ketika Syaz berdepan dengan peperiksaan.

“Tidak timbul soal kecewa dengan trek nyanyian Syaz sebelum ini. Nyanyian sudah menjadi semangat dan keterujaan dalam hidup Syaz. Syaz bukan lagi budak-budak, Syaz semakin meningkat usia tahun demi tahun. Matlamat Syaz sekarang juga sudah berbeza kerana Syaz bukan saja mahu menjadi penyanyi, sebaliknya Syaz juga ingin berjaya dalam bidang perniagaan yang diceburi,” katanya sewaktu terbabit dengan persembahan dan sambutan hari lahirnya yang diadakan pada 3 Ogos lalu di Planet Hollywood.

Ada tanggapan sinikal yang mengatakan Syazliana dengan mudahnya boleh membikin album kerana datang dari keluarga berada. Stigma itu sering melekat dalam keazamannya menggapai impian menjadi penyanyi sehinggakan ada yang bertanya tidakkah serik untuk Syazliana terus merakamkan album.

Sebagai manusia biasa, akui Syazliana dia tidak mampu untuk terus memuaskan hati semua pihak dan menyenangkan mereka. Namun, ia menjadi satu keseronokan bermakna, andai apa yang dilakukannya selama ini mengundang rasa puas hati orang lain.

“Syaz mahu terus menyanyi selagi terdaya dan harapnya ia akan diikuti dengan sokongan peminat di belakang Syaz. Syaz berharap apa juga yang diperjuangkan selama ini akan memberi impak berguna kepada negara dan masyarakat. Syaz mahu berjaya dalam dunia seni dan perniagaan, soal kahwin itu belum fikir lagi.

“Soal Syaz dikatakan boleh membuat album disebabkan kedudukan keluarga Syaz, semuanya bersifat subjektif. Benda itu kecil saja dan tidak perlu difikirkan sangat, sebaliknya kita perlu berbangga dengan kurniaan Tuhan biar apa jua latar belakang seseorang itu. Orang kaya juga perlu berusaha daripada bawah sebelum sampai ke tahap sekarang,” kata Syazliana yang dijangka memasarkan album keempatnya selepas Ramadan ini.
SYAZLIANA diraikan rakan dan keluarga sempena sambutan hari jadinya yang ke22 di Planet Hollywood.

Syazliana semakin bijak berkomunikasi

SEWAKTU membuat persembahan di Planet Hollywood yang dihadiri peminat, rakan belajar, bekas pensyarah, ahli keluarganya, termasuk staf syarikatnya dan juga staf Sony BMG Music, Syazliana dilihat matang dan semakin bijak berkomunikasi.

Melantunkan hampir 13 buah lagu termasuk dua buah lagu daripada album terbarunya, Suara Hati dan Dalam Alam Bercinta, Syaz juga tidak ketinggalan menyanyikan secara medley lagu penyanyi pujaannya seperti Misha Omar, Faizal Tahir, Kelly Clarkson dan Jaclyn Victor.

“Syaz dapat merasakan kasih sayang anda semua yang datang pada petang ini. Ia satu gambaran rasa yang tidak pernah dirasai Syaz sebelum ini. Terima kasih kerana sudi mengorbankan masa berharga anda untuk bersama-sama Syaz dalam satu momen indah yang pasti dikenang Syaz sampai bila-bila.

“Jangan lupa untuk dapatkan album keempat Syaz nanti ya!. Syaz harap kehadiran album itu nanti akan mendapat tempat di hati peminat, tidak kira apa juga bangsa dan agama anda,” kata Syazliana yang turut diraikan dalam sebuah acara pemotongan kek beramai-ramai.

INFO:

# Mula menyanyi sejak usia 13 tahun lagi.

# Memenangi Anugerah Pereka Bentuk Dalaman Muda LG (LG Young Best

Designer 2007) sekaligus mengharumkan nama The One Academy, Sunway di sini, tahun lalu.

# Pengarah Urusan, Seinna Entertainment Sdn Bhd dan Seinna Studio Sdn Bhd yang sudah beroperasi awal tahun ini.Ternyata, darah usahawan yang mengalir dalam dirinya, diwarisi daripada bapa, Datuk Abdul Karim yang juga bukan nama asing dalam dunia korporat.

# Insya-Allah, bila dua syarikat saya ini stabil, Syazliana bercadang untuk

membuka syarikat hiasan dalaman sendiri, Sienna Interior Design pula.

# Emel: syazzygurl@yahoo.com

# Antara komposer yang terbabit dalam album keempatnya ialah Iman Wan, Hazami, Adnan Abu Hassan, Yasin dan Neves Pretty Ugly.

# Sukakan jenama beg, kasut, tas tangan daripada jenama mewah seperti Aigner, Salvatore Ferragamo dan Louis Vuitton.

# Menyenangi haruman seperti Escada, Dolce & Gabbana, Giorgio Armani Code.

# Solekan: Razlan Bahari

PROFIL: Syazliana Abd Karim
UMUR : 22 tahun
TARIKH LAHIR: 25 Julai 1986
TEMPAT LAHIR: Subang Jaya Medical Centre, Selangor
STATUS: Bujang
KELUARGA: Anak ketiga daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Diploma Senibina Hiasan Dalaman di One Academy, College Sunway
SENARAI ALBUM: Singgahsana (2001), Demi Cinta (2003), Sinar Baru (2005) dan Syaz (2008)
PENCAPAIAN: Peringkat Separuh akhir, Anugerah Juara Lagu Ke-18 (AJL18) dalam Kategori Etnik Kreatif & Irama Malaysia (2003) dan finalis AJL17 dalam kategori sama pada 2002

Iklan