Saya mahu jadi isteri solehah! – Ning –

PERTEMUAN DALAM SATU MAJLIS PERKAHWINAN SEORANG RAKAN DI BALI, INDONESIA TELAH MENEMUKAN PASANGAN INI. LANTAS TANGAN DI HULUR SEBAGAI TANDA PERKENALAN DAN AKHIRNYA IA MENIMBULKAN BIBIT-BIBIT PERCINTAAN. ATAS RESTU KEDUA BELAH PIHAK, MEREKA KEMUDIANNYA MENGAMBIL KEPUTUSAN UNTUK MENGIKAT TALI PERTUNANGAN OGOS TAHUN LALU.

n

Tanggal 31 Januari lalu, kasih antara dua hati ini dikukuhkan lagi dengan ikatan pernikahan.Dalam sekelip mata, status Ning Baizura Hamzah, 33 berubah apabila dengan hanya sekali lafaz, dia akhirnya sah menjadi isteri Omar Sharif Christopher Layton Dalton, 34.

Apa yang lebih mengharukan apabila pasangan ini dinikahkan sendiri oleh bapa Ning, Sheikh Hamzah Sheikh Mohamad, 77 dengan mas kahwin sebanyak RM80 dan wang hantaran berjumlah RM66,666.66. Dalam majlis yang sama juga pihak perempuan membawa sembilan dulang hantaran manakala tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki.

Ning yang ditemui selepas majlis pernikahannya berharap akan menjadi seorang isteri yang solehah kepada Omar selain terus membimbing suaminya itu menjadi seorang Muslim yang baik serta berhasrat untuk berkongsi kasih sayang dengan dua orang anak Omar.

“Saya kini bukan lagi berada di bawah tanggungjawab ayah dan ibu, sebaliknya suami dan itulah yang membuatkan saya terharu, namun dalam masa yang sama juga, saya gembira kerana mempunyai keluarga dan adik-beradik baru.

Apabila saya disahkan menjadi isteri kepada Omar, sekali gus tanggungjawab bakal dipikul juga besar, apatah lagi apabila berkahwin dengan lelaki asing kerana saya perlu membimbing Omar mengenai Islam. Begitupun ayah dan adik-beradik lain bersedia membantu saya.Malah saya juga sudah bergelar ibu.

Walaupun Omar mempunyai dua orang anak perempuan yang kini menetap bersama bekas isterinya di Victoria, Australia, tetapi alhamdulillah kedua-duanya dapat menerima kehadiran saya. Setakat ini, kami
dibenarkan melawat mereka pada bila-bila masa.

Walaupun kelak saya akan mempunyai anak sendiri bersama Omar, kasih sayang saya terhadap mereka tidak akan berubah. Anak-anak Omar juga memanggil saya ‘mummy’, tetapi demi menghormati perasaan bekas isteri Omar, saya lebih senang mereka memanggil saya ‘mak cik Ning’.

Iklan