adat bersuapan

Semasa bersanding, emak pengantin akan menjalankan adat bersuap-suapan di antara kedua-dua pengantin. Emak pengantin akan menjemput sedikit nasi kunyit daripada pahar astakona dan diletakkannya ke tangan pengantin perempuan. Dengan memegang nasi itu menggunakan dua jari, tangan pengantin perempuan akan diangkat oleh emak pengantin lalu disuapkan ke mulut mempelai itu. Setelah itu, giliran pengantin lelaki pula.

Setelah selesai adat bersuap-suapan, emak pengantin pun turun daripada pelamin dan sekelian sanak saudara dan sahabat handai pengantin lelaki yang belum naik melihat persandingan itu dijemput naik. Ini kerana adat persandingan adalah upacara terbesar dan paling disukai oleh masyarakat Melayu. Bunga telur yang dicucuk pada nasi kunyit di astakona tersebut akan dicabut dan dibahagikan kepada tetamu perempuan yang hadir dalam majlis itu seorang sebiji atau sekadar yang mencukupi.

Setelah itu, kedua-dua pengantin dibawa oleh emak pengantin turun daripada pelamin berjalan perlahan-lahan dengan keadaan kedua-duanya berpimpin tangan dan jari kelengkeng mereka dikaitkan satu sama lain. Mereka dibawa terus masuk ke dalam bilik peraduan pengantin, yang sudah sedia disiapkan dan dihiasi dengan perhiasan yang cantik dan indah.

Di dalam bilik, kedua-dua pengantin akan duduk bersanding di atas tikar sila, yang bertekat dan bersulam dengan benang emas terletak di hadapan katil. Setelah kedua-duanya duduk, emak pengantin akan mengambil kedua belah tangan pengantin perempuan lalu dipersalamkannya dengan tangan mempelai itu sebagai tanda mula berkenalan di alam suami isteri. Inilah yang dikatakan orang Melayu zaman dahulu, adat berkahwin dahulu kemudian berkasih.

Emak pengantin akan keluar dari bilik serta menutup pintunya dan meninggalkan kedua-dua pengantin suami isteri itu bersendirian kira-kira sejam dua bagi memberi peluang kepada mereka untuk berkenalan. Selepas sejam, emak pengantin itu akan masuk semula dan membawa pengantin perempuan keluar dari bilik, manakala mempelai itu akan ditinggalkan bersendirian.

Pengantin perempuan itu tidak akan dibawa masuk semula ke dalam biliknya, melainkan jika persandingan itu selesai selepas maghrib. Pengantin perempuan hanya akan dibawa masuk ke bilik semula pada waktu makan malam untuk melayani suaminya makan atau makan bersama-samanya, dan selepas makan malam pengantin perempuan itu mengikut adat, masih tidak lagi dibenarkan duduk berdua dengan suaminya. Adat ini akan berlangsung selama dua hari dua malam selepas pengantin perempuan itu menjalani upacara bersanding di mana beliau akan disalinkan dengan pakaian yang indah-indah empat kali sehari iaitu pada makan pagi (futur), makan tengah hari, minum teh petang dan makan malam. Pada waktu melayan makan suaminya, pengantin perempuan digalakkan duduk lebih lama di dalam bilik bersama suaminya bagi memberikan mereka peluang bergurau senda dan bermesra.

Pada hari yang ketiga, atau ada juga pada hari yang keempat, tibalah masanya untuk pengantin suami isteri itu tidur bersama di waktu malam. Mengikut adat, selepas selesai makan malam bersama suaminya dan sebelum masuk tidur, pengantin perempuan akan dibawa keluar dari bilik pengantin oleh emak pengantin dan disalinkan dengan pakaian serba putih sama seperti cadar di katil pengantin yang sudah siap ditukar. Pada malam itu juga, akan diadakan persembahan bunyi-bunyian dan tarian seperti zapin atau yang seumpamanya, bagi meraikan malam persatuan hayat kedua-dua pengantin suami isteri itu.

Pada esok paginya, sebelum adat mandi-mandian atau berlimau dijalankan, emak pengantin akan bertemu dengan pengantin lelaki untuk memeriksa daripadanya tanda yang membuktikan isterinya itu masih lagi anak dara dan biasanya, suami atau mempelai itu akan menyerahkan sehelai sapu tangan putih yang mengandungi tanda yang dikehendaki itu kepada emak pengantin dan sapu tangan tersebut akan dibawa oleh emak pengantin lalu ditunjukkan kepada ibu bapa pengantin lelaki. Setelah selesai semuanya adat mandi-mandian atau berlimau akan diadakan.

Iklan