rahsia rasa hati

Seawal pagi aku sudah terjaga dari tidur. Setelah agak lama, baru malam tadi aku dapat tidur nyenyak, aman dan tenteram. Berada di dalam pelukan Irfan semula seakan memberikan semangat baru, kesepian yang telah lama bertandang dengan sendirinya berlalu pergi, meninggalkan aku di dalam sinar mentari pagi yang mula megah memercikkan warnanya. Selesai solat subuh, Irfan kembali menyambung tidurnya manakala aku mula berkemas barang-barang milik kami bertiga. Hari ini aku akan pulang semula ke KL setelah beberapa hari berada di tanah rata ini. Percutian kali ini sangat bermakna buat diriku.

“Abang, Danial, bangunlah…. Kita dah lewat ni kan” Aku segera mengejutkan kedua-dua beranak itu sebaik selesai mandi tapi langsung tiada respon. Kedua-duanya masih enak melayan mimpi sedangkan matahari sudah pun berada tinggi di langit.

“Morning mama” Beberapa minit kemudian suara halus Danial menyapa telingaku.

“Morning sayang” Aku menoleh sekilas ke arah katil, Danial dan Irfan sudah terjaga tetapi masih berbaring malas di atas katil. TV di depan katil sudah mula bersiaran. Danial begitu tekun menonton cerita kartun yang di tayangkan manakala Irfan mula kembali memejamkan matanya tapi aku tahu dia tidak tidur.

“Danial, semalam, siapa yang jaga siapa? Danial yang jaga mama ke mama yang jaga Danial? hmm?” Tanyaku kepada Danial seraya duduk di birai katil. Sengaja memaparkan wajah serius kepada anak kecil itu. Danial dan Irfan saling berpandangan dan berbalas senyuman.

“Danial nak jaga mama malam tadi tapi….”

“Tapi apa?” Serentak aku dan Irfan bertanya.

“Papa dah jaga mama dulu. So, Danial kasi can kat papalah” Jawapan Danial membuatkan aku dan Irfan berpandangan. Segera aku memalingkan wajah, cuba menyembunyikan wajah yang mula merona merah saat itu.

“Hah, macam tulah baru anak papa” Irfan mencuit hidung Danial.

“Eh, tapi mana Danial tahu papa yang jaga mama? Danial kan dah tidur semalam”

“Alah Danial tahulah. Ada orang tu siap nangis lagi. Papa marah eh?” Sekali lagi Danial membuatkan muka aku yang merah bertambah merah. Irfan pula tergelak besar.

“Papa marah mama sebab papa sayangkan mama tau” Ujar Irfan tiba-tiba bingkas duduk di belakang dan memelukku erat. Kepalanya dilentokkan di bahuku memandang ke arah Danial. Aksi Irfan itu segera mengundang cemburu di hati anak kecil itu. Muka Danial mula mencuka.

“Abang! Apa ni. Malulah sikit dengan Danial tu!” Tegurku geram. Irfan masih seperti dulu, tidak pernah malu menunjukkan kasih sayangnya padaku. Namun, aku senang sekali walau kadangkala terasa sedikit janggal bila ianya turut mendapat perhatian orang lain.

“Papa sayang mama, mama sayang papa tau. Kan mama kan?” Irfan terusan mengusik Danial. Aku tersenyum dan mengangguk kecil, tiba-tiba rasa ingin berpakat mengenakan Danial.

“Erm, semalam Danial tak marah papa pun masa papa marah mama. Mama nangis Danial tak pujuk pun. Danial tak sayang mama kan?” Laju aku menuturkan kata seraya mengenyit mata ke arah Irfan. Lelaki itu kelihatan cuba menahan tawanya.

“Ala…Danial pun sayang mama jugak” Balas Danial seraya bangun, merangkul leherku erat. Kami berdua tergelak besar melihat telatah Danial itu. Kini, kedua-dua lelaki itu memeluk tubuhku. Irfan di belakang dan Danial pula bergayut di depan badanku.

“Ya Allah. Kalau macam gini lemaslah mama dan baby Dania” Rungutku cuba mengelakkan muka dari ciuman mereka berdua. Kedua-duanya cuba menunjukkan kasih sayang mereka padaku.

“Sudah-sudah, both of you pergi mandi cepat. Bau busuk, mama tak tahan dah ni!” Arahku sambil berusaha untuk bangun, melepaskan diri dari kedua-dua lelaki itu. Irfan dan Danial melepaskan rangkulan dan kembali berbaring di atas katil. Aku masih lagi duduk di birai katil, hanya mampu menggeleng kepala melihat kerenah kedua-dua lelaki itu.

“ElleaNur, kita balik esok aje lah, boleh?” Irfan tiba-tiba berbicara.

“Bolehlah mama….” Danial menyambung pantas.

“No, no, tak boleh. Kita kena balik hari ini juga. Mama ada appointment dengan Dr. Sofia esok pagi” Aku segera memberikan alasan. Sememangnya esok aku mempunyai temujanji dengan Dr. Sofia untuk pemeriksaan bulanan kehamilanku.

“ElleaNur, sayang dah buat scanning?” Irfan bertanya, tangannya bermain-main di permukaan perutku.

“Belum, kenapa?”

“Abang rasa tak payah sebab memang sah baby girl”

“Sebabnya?”

“Sebabnya, sayang asyik merajuk, menangis aje. Sikit-sikit merajuk, sikit-sikit menangis. Orang perempuankan kuat merajuk, gembing. Jangan Dania macam sayang sudah. Tak larat abang nak pujuk tau. Lagi-lagi kalau dua-dua merajuk”

“Iya? Yakinnya abang. Bukannya abang ke yang buat Ellea merajuk, menangis? Heh, lupalah tu” Balasku selamba. Irfan hanya tersengih panjang.

“Lagipun you look so beautiful, berseri-seri and….”

“And what?” Pantas aku bertanya.

“Gem….mokkkkk. Mon…telll, so chub…byyyy” Selamba Irfan mengutuknya.

“Oh, gemuk, montel, chubby ek? Ok, lain kali jangan buat I gemuk begini lagi, ada faham?” Balasku pura-pura marah.

“Yang itu abang tak boleh nak janji. But, to be honest, I love it! Tak kiralah sayang gemuk macam tempayan ke, kembang semangkuk ke, bulat macam belon ke, sayang tetap cantik di mata abang” Jawapan Irfan mengundang tawa di bibirku. Aku senang sekali.

“Sudah, sudah jangan nak merepek. Pergi mandi cepat. Tengok Danial pun dah tertidur semula dah tu” Segera aku mengarah Irfan, merungkaikan tangannya yang sedari tadi melingkari perutku. Kalau di layan alamatnya sampai ke tengah harilah lelaki itu akan terusan berbaring di situ. Lambat-lambat baru lelaki itu bingkas menuju ke bilik air.

Banyak yang kami bualkan lewat malam itu, mencurahkan segala yang terpendam di dalam hati masing-masing sepanjang perpisahan yang berlaku. Sama-sama merungkai tali yang telah lama tersimpul. Biarlah segala rahsia rasa hati aku dan Irfan tersingkap dan terungkap kerana sudah tiba masanya semua rasa itu untuk kami kongsi bersama. Segala pahit manis itu lumrah kehidupan manusia. Semoga selepas ini semua yang menyakitkan itu akan menjadi sejarah rumahtangga aku dan Irfan. Sesungguhnya, sengketa dan perpisahan ini memberikan pengajaran yang amat bernilai kepada aku dan Irfan untuk lebih menghargai hubungan di antara satu sama lain. Biarlah segalanya menjadi lipatan sejarah kami berdua.

Sungguh! Aku benar-benar gembira, perasaan aku tidak dapat di luahkan dengan kata-kata. Hati berbunga-bunga, bibir terukir indah, mata membiaskan sinar, wajah memancarkan serinya. Hari ini kami akan pulang untuk memulakan lembaran baru, bersama-sama melayari bahtera rumahtangga, menikmati keindahan berumahtangga bersama-sama permata hati, Danial Imran dan mungkin juga Dania Insyirah. Kini, hati aku juga seakan mempunyai firasat yang sama dengan Irfan dan Danial. Dan kalau pun, ianya sama sekali menyimpang aku tetap bersyukur dengan kurniaan yang tidak ternilai ini. Sungguh! Aku bagaikan tidak sabar untuk menghadapi hari esok, menantikan detik bahagia itu memancarkan sinarnya sekali lagi. Semoga kebahagiaan ini milik aku selamanya. Semoga dua jiwa, Ezairil Irfan dan ElleaNur Eizurra bersatu dalam damai hingga ke akhir hayat.

-end-

Iklan